SEMENYIH, SELANGOR, 29 DISEMBER 2023 – Pertubuhan bukan untung, Yayasan Kemanusiaan Malaysia (“Malaysian Humanitarian Foundation/MHF”) menjalinkan usahasama dengan organisati pendidikan, Teach for Malaysia (“TFM”) dalam mengenalpasti pelajar dari isi rumah B40 dengan menawarkan biasiswa untuk menghadiri program SuperCamp.
Bagi edisi Disember yang dianjurkan dari 18 hingga 22 Disember 2023 di Paradise Valley Broga Resort, Semenyih, Selangor ini, tujuh (7) pelajar dari beberapa sekolah dalam Lembah Klang telah disenarai pendekkan oleh TFM untuk menghadiri SuperCamp.
“Kami melaksanakan sebuah sistem untuk memanjangkan peluang seperti ini kepada pelajar dari golongan yang kurang berkemampuan. Kekangan dalam kewangan untuk membiayai program seperti ini tidak seharusnya menjadi alasan yang menghalang mereka untuk terus maju dan mencapai kejayaan pada masa akan datang. Kami berharap, bermula dari tahun 2024, kami dapat menambah bilangan penerima biasiswa ini kepada sekurang-kurangnya 50 pelajar setiap tahun,” kata Henry Teh Kok Kheng, Pengarah Eksekutif MHF (郑国庆).
Memperkasakan bakal pemimpin Malaysia
Vassenthen A/L Devendren, 16, teruja kerana terpilih untuk menghadiri SuperCamp. Pelajar SMK (L) Methodist Sentul tersebut mendedahkan, dia berasa rendah diri apabila mula menghadiri sekolah kebangsaan daripada sekolah jenis kebangsaan Tamil selepas gagal mendapatkan keputusan yang diingininya semasa menduduki UPSR. Dia juga berasa kurang yakin kerana bertubuh besar.
Vassenthen mahu membuatkan ibunya, Mogana Sunthari bangga dengan pencapaiannya di sekolah
“Saya sebenarnya kecewa dengan keputusan UPSR saya dan berazam untuk berubah. Saya mula mengikuti jadual ketat yang hanya memberi sedikit ruang untuk berehat dan menghabiskan masa bersama keluarga. Sebagai anak sulung dalam keluarga, saya juga memainkan peranan yang besar,” katanya. Dia juga meneruskan pembelajaran dalam subjek Bahasa Tamil sebagai tanda hormat kepada jati dirinya sebagai bangsa India serta memperkasakan penguasaan bahasa ibundanya di samping menguasai Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.
Ibunya, Mogana Sunthari A/P Govindan, 41, juga terkejut melihat komitment Vassenthen menghabiskan masanya dengan mengulangkaji. “Setiap hari selepas balik dari sekolah, dia akan masuk ke bilik untuk belajar. Kadang-kala dia akan menghantar mesej atau menelefon saya sekiranya dia hendak makan. Saya memahami dan menyokong kesungguhannya untuk berjaya,” katanya. “Cumanya, dia tidak mahu memilih kerjaya sebagai seorang doktor. Katanya, pengalaman COVID-19 sangat menakutkan!”
Seorang penerima biasiswa dari SMK Seksyen 27, Shah Alam, Maizatulakma Lisa Aqilah Abdullah merupakan seorang peminat tegar budaya Korea, khususnya makanan dan fesyen. Walaupun dia amat meminati bidang hiburan, dia percaya bahawa rakan-rakan sebayanya perlu tahu menilai baik buruk dalam menggariskan keutamaan mereka dari usia yang muda.
Zaidatulnisa Salleh (kiri) dan Maizatulakma Lisa Aqilah Abdullah
“Saya tahu ramai pelajar sebaya saya yang berhasrat untuk menjadi pencipta kandungan dan pempengaruh, tetapi saya sejujurnya mahu menjadi seorang guru. Saya akan bekerja keras untuk mencapai cita-cita saya, walaupun ada masanya memang saya berasa sedikit malas. Namun, selepas menghadiri SuperCamp, saya berasa lebih terdorong untuk menjadi lebih baik,” kata pelajar berusia 15 tahun itu.
“Memang ada kalanya dia menjadi malas,” kata ibu Maizatulakma, Zaidatulnisa Salleh, 39, dengan gelak tawa. “Tetapi dia seorang anak yang baik. Dia anak sulung dalam keluarga dan sering menjaga adik-adiknya. Dia akan menyiapkan kerja sekolah sebelum pulang ke rumah. Dia juga sangat aktif melibatkan diri dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sesuatu yang dia pelajari daripada saya. Saya juga aktif bergiat dalam beberapa NGO yang memperkasakan kanak-kanak dari golongan B40 menerusi pendidikan di sekitar kawasan perumahan kami”.
Zaidatulnisa juga berharap sistem pendidikan Malaysia akan melaksanakan sesi peperiksaan untuk golongan pelajar. “Bagi saya, peperiksaan adalah cara untuk mendorong pelajar mendalami apa yang mereka pelajari di sekolah. Peperiksaan sebenarnya adalah penanda ukur untuk ibu bapa menilai pencapaian anak-anak mereka di sekolah. Peperiksaan bukanlah sesuatu yang digunakan untuk membanding-bandingkan anak siapa yang lebih baik atau lebih bijak”.
Zuraida Zulkifli, 48, merupakan ibu kepada Daliya Safeera Ramli, seorang pelajar berusia 15 tahun di SMK Shah Alam, Bukit Jelutong. “Dia seorang yang pendiam di rumah. Dia hanya akan mendekati kami apabila dia memerlukan bantuan. Berbeza dengan kakaknya yang dulu seorang pengawas dan sangat aktif di sekolah. Kakaknya belajar di sekolah berasrama penuh,” kata suri rumah sepenuh masa itu.
“Tetapi saya tidak mahu bersekolah asrama seperti kakak,” kata Daliya, tertawa. “Saya seorang yang introvert dan saya takut untuk membuat kesalahan, terutamanya apabila bercakap di khalayak ramai. Saya juga bergantung pada Internet dan video Youtube apabila menghadapi masalah dalam pelajaran. Sebenarnya langkah ini memboleh pelajar seperti saya belajar mengikut kelajuan masing-masing. Sejak menghadiri SuperCamp, saya berasa lebih yakin untuk bercakap di khalayak ramai dan saya teruja untuk berkongsi pendapat saya tentang pelbagai isu”.
(Kiri ke kanan) Zuraida Zulkifli bersama anaknya, Daliya Safeera Ramli dan Penolong Kanan Pentadbiran SMK Shah Alam, Bukit Jelutong, Tuan Saripah Nor Riha Tuan Jaafar
Penolong Kanan Pentadbiran dari sekolah Daliya, Tuan Saripah Nor Riha Tuan Jaafar amat berbangga apabila salah seorang pelajar mereka terpilih untuk menerima biasiswa menghadiri SuperCamp. “Apabila TFM menghubungi saya untuk memaklumkan tentang SuperCamp, kami menghantar 8 permohonan dan sangat berbesar hati apabila Daliya terpilih, sedangkan kami tahu penempatan yang ada amat terhad,” katanya. “Daliya merupakan seorang pelajar yang berdedikasi dan dia menghadiri semua mesyuarat yang dianjurkan oleh TFM sebelum proses pemilihan. Saya berharap apabila dia kembali ke sekolah kelak, dia boleh berkongsi pengetahuan yang ditimba di sini dengan kawan-kawan yang lain. Kami juga berharap lebih ramai pelajar kami dapat menghadiri SuperCamp pada masa akan datang”.
SuperCamp merupakan jenama pendidikan global yang ditubuhkan pada tahun 1982 oleh seorang professional hartanah, Bobbi DePorter di San Francisco, Amerika Syarikat yang percaya bahawa kanak-kanak yang diperkasakan dengan asas ‘8 Kunci Kecemerlangan’ (“8 Keys of Excellence”) yang diilhamkan di Sekolah Perniagaan Burklyn, boleh mengukuhkan motivasi dalam diri untuk terus belajar.
8 Kunci Kecemerlangan tersebut adalah:
● Integrity (Integriti)
● Commitment (Komitmen)
● Failure leads to Success (Kegagalan membawa kepada Kejayaan)
● Ownership (Tanggungjawab)
● Speak with Good Purpose (Bercakap dengan tujuan yang baik)
● Flexibility (Fleksibiliti)
● This is It (Inilah Masanya)
● Balance (Keseimbangan)
Sementara itu, TFM merupakan sebuah pertubuhan bukan untung bebas yang mempunyai misi untuk memberikan semua kanak-kanak peluang untuk mencapai potensi mereka menerusi pendidikan berkualiti. Jaguh pendidikan ini menjalinkan usahasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia untuk mendekati sekolah kerajaan berkeperluan tinggi. Pada masa yang sama, TFM merupakan salah satu daripada 61 rakan kongsi rangkaian pendidikan global, Teach for All. Pada tahun 2022, TFM menerima pengiktirafan dalam kategori Pendidikan & Komuniti di Anugerah Merdeka yang ditubuhkan oleh PETRONAS, ExxonMobil dan Shell pada tahun 2007.
Mengenai Malaysian Humanitarian Foundation
MHF, sebuah pertubuhan bukan untung yang komited terhadap pemuliharaan alam sekitar, amalan mampan dan usaha kemanusiaan, berusaha untuk mencipta masa depan yang lebih baik untuk Malaysia dan dunia. Berdedikasi untuk meningkatkan kesedaran, memacu perubahan positif dan memperkasakan komuniti, MHF menawarkan aktiviti dan perkhidmatan inklusif kepada rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang. Diasaskan oleh individu yang berfikiran sama yang berkongsi visi dan misinya, MHF telah diberi penghormatan dengan Anugerah Perkhidmatan Komuniti Terbaik 3G yang berprestij 2023 dan Anugerah Kemanusiaan 3G 2023 oleh CambridgeIFA.
Kena ada juga pertubuhan macam ni kan bukan semata-mata untuk mendapat keuntungan....moga mereka mencapai objektif penubuhan.
ReplyDeletenice sharing
ReplyDeleteBest ada program macam ni.. memang membantu pelajar
ReplyDelete