Thursday, June 24, 2021

Tiada Bukti Rawatan Alternatif Sembuhkan Kanser

Masyarakat Melayu Paling Ramai Tertipu Oleh Pengamal Ilmu Ghaib




Setiap kali apabila mendengar perkataan ‘kanser’ yang keluar daripada mulut seorang doktor, pasti kita berasa seakan-akan dunia menjadi gelap seketika dan masa ibarat terhenti. Pelbagai reaksi yang pernah dilihat oleh dua pakar perunding dari Hospital Pantai Kuala Lumpur ini sepanjang merawat kanser. Ada yang terlalu terkejut hingga menghilangkan diri dan tidak mendapatkan rawatan segera. 

Bagi Dr. Luqman Mazlan, Pakar Bedah Kanser Usus Besar, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kanser jenis ini yang juga dipanggil kanser kolon menunjukkan peningkatan drastik dalam kalangan lelaki dewasa di Malaysia. Menurut Laporan Registri Kanser Kebangsaan Malaysia 2012-2016 yang diterbitkan pada tahun 2019, 14.8% daripada kes kanser yang dilaporkan dalam kalangan lelaki adalah kanser usus besar diikuti oleh kanser paru-paru (13.2%). 





Walaupun secara amnya, penyakit kanser lebih banyak dikesan dalam kalangan masyarakat Cina, tetapi penghidap kanser berbangsa Melayu yang rata-ratanya menunjukkan reaksi yang lebih dramatik. Menurut Dr. Luqman, ada pesakit yang terus membuat keputusan untuk mendapatkan rawatan alternatif. 



“Kita perlu faham. Sekiranya sel kanser tersebut tidak dikesan dari awal, ia akan merebak lebih jauh hingga menjejaskan organ di sekitarnya akibat tidak mendapatkan rawatan. Apatah lagi dengan kedudukan usus kita yang berhimpit dengan organ lain di dalam abdomen kita. Ini boleh menyukarkan pembedahan dan rawatan selanjutnya,” kata Dr. Luqman. 

“Saya pernah berjumpa dengan seorang pesakit yang menghilangkan diri selama lebih kurang 6 bulan selepas disahkan menghidap kanser usus besar. Dia datang berjumpa dengan saya dengan membawa sampel kanser dalam beg plastik. Menurutnya, dia sudah berjaya membuang kanser usus besar tersebut dengan bantuan seorang ustaz,” kata Dr. Luqman. “Saya meminta izin daripada pesakit tersebut untuk membuat ujian terhadap sampel yang dibawa itu. Selepas dihantar ke makmal, rupa-rupanya ‘kanser’ tersebut adalah cebisan daging ayam! Akhirnya pesakit tersebut terpaksa menjalani pembedahan yang lebih kompleks kerana kansernya sudah melarat”. 




Dr. Luqman menasihatkan supaya individu yang menunjukkan tanda-tanda seperti perubahan kekerapan membuang air besar, sakit perut berpanjangan dan pembuangan najis berdarah datang ke hospital untuk pemeriksaan lanjut. 

Dr. Azlina Firzah Abdul Aziz, Pakar Bedah Payudara dan Endokrin juga berkongsi cerita yang hampir sama. Berdasarkan pengalaman lebih 20 tahun dalam pengkhususan ini, beliau telah berdepan dengan ramai wanita yang mengalami tekanan selepas mendengar diagnosis mereka. “Sebagai seorang wanita, saya juga memahami perasaan wanita lain apabila mereka mendengar tentang kanser payudara. Mereka takut kehilangan ‘aset kewanitaan’ mereka hingga sanggup mencari pengamal perubatan ghaib yang menjanjikan kesembuhan tanpa perlu pembedahan,” katanya. 





“Seorang pesakit saya juga pernah menghilangkan diri. Kami cuba menghubunginya tetapi gagal. Tidak lama selepas itu, dia datang berjumpa dengan saya dan menunjukkan kesan parut di payudaranya,” cerita Dr. Azlina Firzah. “Masha-Allah! Rupa-rupanya bomoh yang merawatnya itu menggunakan pisau untuk mengeluarkan ketulan kanser tersebut. Saya terkejut tetapi sebagai pakar perubatan profesional, saya perlu menjalankan tugas saya untuk menyelamatkan pesakit saya walaupun sudah melarat sebegitu”. 

Tambah Dr. Azlina Firzah lagi, kanser payudara merupakan kanser yang paling banyak menyerang kaum wanita di Malaysia dengan kadar 34.1% berbanding dengan jenis kanser lain. Walaupun inisiatif kebangsaan mengesyorkan ujian saringan mamogram ke atas wanita yang berusia 40 tahun ke atas, beliau berharap supaya wanita yang lebih muda mengadakan ujian pemeriksaan payudara sendiri secara bulanan dan diikuti oleh saringan ultrasound.




Sekiranya seorang wanita itu mempunyai sejarah kanser payudara dalam kalangan keluarga terdekat seperti ibu dan adik-beradik dinasihatkan untuk membuat ujian saringan dan mendapatkan rundingan secepat mungkin oleh doktor pakar. “Bukan hendak menakut-nakutkan kaum wanita di luar sana, tetapi jikalau rawatan kanser payudara ditunda, kos perubatannya juga mungkin bertambah,” katanya lagi. 

Hospital Pantai Kuala Lumpur merupakan antara hospital swasta yang dilengkapi oleh pakar perunding kanser berpengalaman dan berkemahiran tinggi. Malah, ramai pesakit dari luar negara termasuk Singapura, Indonesia dan Brunei yang datang ke hospital ini untuk mendapatkan rawatan kanser usus besar dan payudara.

2 comments:

  1. Kalau berpenyakit elok jumpa doktor yang lebih pakar dalam hal tersebut.. Ubatan alternatif tu bukanlah tak boleh, tapi eloknya pergi dapatkan rawatan doktor dahulu.

    ReplyDelete
  2. Sebaiknya kita refer pada hospital sebab ramai pakar pakar boleh monitor dan advise rawatan yang perlu.

    ReplyDelete

Heyy Gojes..Any Comment????
Comment Yang Elok- Elok Aje Ye......