Friday, March 11, 2016

Sebuah Kisah Yang Perlu Dijadikan Tauladan

I cried reading this.....

Satu kisah buat yang punya anak...

Sudah makan bulan saya mengelak untuk berjumpa Puan yang seorang ini. Demi  Tuhan, saya tak selesa dihubungi berkali-kali, tetapi beliau tetap mahu berjumpa. Katanya dapat minum 10-20 minit pun jadilah. Entahlah apa yang jadi pada saya, akhirnya saya bersetuju.

Kami bersembang di kedai makan sekitar studio saya. Duduk berdepan, beliau hanya banyak tunduk dan dapat lihat betapa susahnya beliau mahu memulakan perkataan yang datang dari mulutnya. Saya juga tidak selesa.

“Akak nak sangat kamu cerita kat semua orang, apa yang akak lalui ini perlu jadi pengajaran,”

Gulp. Saya semakin laju menelan air liur sendiri. Saya sendiri pun tak tahu bagaimana mahu mulakan perbualan ini, lalu saya pun biarkan beliau bercerita.

Rupanya beliau ini seorang yang terpelajar dan dihormati di kawasan kejiranannya satu masa lalu. Anak-anaknya berjaya dan beliau suami isteri juga amat dikagumi dengan kehidupan mereka yang agak selesa dipandangan mata jiran-jiran.

Kehidupan beliau berubah 360 darjah beberapa tahun lalu apabila salah seorang anak perempuannya dijumpai di dalam bilik dengan tubuh yang tergantung bertali yang diikat di leher menggunakan telekung. Anak yang beliau sayang-sayang ini menamatkan kehidupannya semasa baru berumur 15 tahun waktu itu.

Suami beliau seorang tenaga pengajar, yang mana keputusan peperiksaan anak-anak pastinya menjadi nombor satu dalam kehidupan. Mana-mana anak-anak yang tidak ‘laju’ dalam pembelajaran, akan dihantar tuisyen, kelas-kelas khas untuk terus belajar.

Sampai satu tahap, anak-anak mereka ini sudah boleh membaca dengan lancar seusia empat tahun. Jurang permainan dan pembelajaran amat besar. Hingga ke tahap, anak-anak tak reti bergaul dengan rakan seumur. Yang pandai hanya dengan buku dan alat tulis.

Hinggalah pada tahun sekian-sekian, anak perempuannya ini tidak pernah tidak dapat nombor satu, mendapat nombor dua dalam ujian percubaan walaupun keputusan yang diperolehi semuanya A.

Beliau tidak fikir panjang, terus sahaja pulang ke rumah, tunaikan solat zohor dan menggantung diri. Saat beliau menggantung dirinya ini, suasana di dalam rumah kelab kabut, masing-masing mendengar bunyi dari dalam bilik, pintu bilik tidak dapat dibuka dan akhirnya dipecahkan. Waktu dapat memasuki ruang yang sudah penuh dengan kesedihan itu, jasad itu baru sahaja menghembuskan nafas yang terakhir.

Saya tidak puas hati, terus saya tanya “kenapa perlu gantung diri? Dia solat, dia sudah ambil wudhuk untuk solat, dia sudah solat! Kenapa gantung diri??”

Ibunya terus menangis puas-puas. Orang lain melihat Puan ini beriya-iya mengelap air mata dan tersangkut-sangkut mahu sambung perbualan.

Kisahnya, pada malam sebelum beliau ke sekolah. Dia bertanya kepada bapanya. Jika pada satu hari, takdir Tuhan kata dia tak pandai dan dah tak dapat nombor satu, apa yang ayah akan buat padanya?

Ayahnya jawab, “kau bukan anak aku lagi,”

Saya terus terdiam.

Waktu ini, walau Puan belum lagi bercerita kisah seluruhnya, saya pula sudah menanggung air mata yang penuh. Hanya tunggu mahu jatuh sahaja.

Dari kecil lagi, ayahnya tidak pernah sesekali bermanja-manja dengan anak. Tidak pandai, tidak mahu belajar dan tidak mahu memaksa diri bergaul dengan anak-anak. Yang penting anak-anak berjaya dan anak tahu bagaimana mahu hidup.

Jika ke kenduri, balik kampung dan sebagainya, anak-anak lebih suka bermanja dengan bapa-bapa saudara. Lebih suka bercerita dan bergaul kerana mereka jauh lebih mengerti. Anak yang seorang ini kaki meleset. Percubaan beliau hingga berumur 15 tahun untuk bermanja dengan ayahnya tak pernah berhenti.

Pernah dia menyiapkan kek hari jadi buat ayahnya, akhirnya ayahnya kata “aku tak pernah minta, beli lagi bagus jangan buang tenaga,pergi belajar!”

Pernah dia menyiapkan sarapan kesukaan ayahnya, ayahnya kata “kenapa kau nak jadi bibik macam Indon-indon ka?”

Dan macam-macam contoh lagi yang diceritakan oleh Puan ini.

Saya mohon untuk bangun dan ke tandas sekejap. Tak tahan menangis saat Puan tersebut beri saya gambar anak perempuannya itu. Ya Tuhan, terus saya sambung menangis dan membasuh muka di sana.

Saat anaknya mahu diuruskan pengebumiannya, ada sedikit pergeseran dengan jiran-jiran. Ada jiran yang mengatakan anak ini bukan lagi muslim. Bukan lagi orang kita. Kuburnya perlu diletakkan di luar tanah perkuburan. Ada juga yang menyokong dan memberi kata dua. Maka waktu itulah si ayahnya ini melutut dan merayu-rayu supaya kisah mereka ini tidak menjadikan darjatnya jatuh tersungkur.

Selepas sahaja urusan pengkebumian itu selesai (tidak diceritakan bagaimana selesainya itu), ayahnya hilang dan pulang kembali selepas hampir dua bulan.

Kepulangan suaminya ini disambut dengan kerinduan yang paling dalam. Anak-anak yang lain juga berkumpul dan melihat ayahnya ini sudah bukan lagi ayahnya yang dulu. Rupanya dalam tempoh dia hilang, dia hanya tinggal di masjid-masjid dan hidup ala gelandangan. Katanya lagi, hampir berpuluh kali dia bermimpikan anaknya merayu-rayu diselamatkan dari tali cemeti yang sentiasa datang seperti ular dan mengikat leher dan kemudian menggantungnya dari dari sepohon pokok yang sangat tinggi dan dia tak pernah berjaya menyelamatkan anaknya itu. Perkara itu berlaku berkali-kali dan ia adalah mimpi yang serupa. Hingga pernah, dia sendiri takut untuk tidur.

Kini, dia sedar dia tidak boleh menolong anaknya itu. Tetapi dia boleh tolong dirinya sendiri. Dia sudah pandai berpeluk-peluk dengan anak-anaknya yang lain. Bergurau dengan cucu dan sering mengambil peluang keemasan untuk bergaul dengan anak-anak.

Puan ini berpesan kepada saya, dalam hidup ini kita jangan berlebih-lebih. Boleh tegas, tetapi tegasnya ada limit. Apa sahaja yang kita lakukan walaupun berprinsip, jangan berlebih.

Saya menggangguk.

Sebelum kami berdua berpisah, beliau mengatakan yang beliau ini datang dari jauh semata-mata mahu berjumpa dengan saya dan mahu saya pastikan saya akan menulis kisah mereka ini di FB saya. Supaya ini boleh dijadikan pengajaran kepada semua orang.

Setiap apa yang kita sayang, hargailah baik-baik. Kerana saat ujian itu datang, belum tentu lagi kita boleh hadapi atau tidak.

Kawan-kawan yang baik. Jujurnya saya tidak selesa dengan perjumpaan sebegini. Saya takut dan saya risau ianya tidak berapa baik untuk untuk saya. Mendengar kisah Puan ini buat saya sendiri tidak boleh tidur. Sungguh. Betapa wajah anak perempuannya itu menjadi igauan buat saya. Bertudung litup, wajahnya suci Ya Tuhan. Tetapi menamatkan kehidupannya dengan cara yang sebegitu.

Sungguh, dunia hari ini senang sahaja mencipta awal, kemudian diri sendiri mencipta juga pengakhiran. Semuanya boleh dengan kependekan akal yang kita ada. Jujurnya juga, memang beliau menagih kasih sayang keluarga, ayah dan ibu dan itu beliau tidak pernah kecapi hingga beliau putus nyawa.

Tinggallah kita yang masih hidup ini dapat mendengar kisah mereka ini untuk dijadikan pengajaran. Semoga ia baik-baik sahaja buat kalian.

Buat Puan, suami Puan serta anak-anak yang lain. Hiduplah kalian dengan kisah tragis ini untuk berzaman-zaman. Untuk elak, tidak boleh. Untuk dilupakan juga mustahil. Tetapi jika kalian berubah dan menuju Tuhan dengan perubahan yang baik-baik, insya-Allah pengakhiran di hadapan Tuhan nanti juga baik-baik.

Kadang-kadang Tuhan datangkan peringatan yang menakutkan seperti ini. Ya Tuhan, nauzubillah. Jauhkanlah..

5 comments:

  1. baru je baca cerita ni tadi kat fb..sedih kan. moga jadi pengajaran.

    ReplyDelete
  2. sejak semalam banyak sungguh kawan2 akak share cerita ni...tertanye2 jugak sama ada cerita ni benar2 terjadi atau semata2 kisah viral yg tidak nyata...tapi bagos untuk tatapan semua ibu dan bapa...berpada2 la dalam segala hal...tiada manusia yg sempurna :'(

    ReplyDelete
  3. tamat juga baca entry ini. terima kasih. satu perkongsian yang bagus bagi ibu bapa diluar sana

    ReplyDelete
  4. sebab tu kak..selain g kerja. Memang saya tak nak tinggalkan anak-anak. Memangku angkut mereka sana sini ;)

    ReplyDelete
  5. Jangan wujudkan jarak antara kita dan anak2.. mereka nak bermanja tapi kita menolak.. aduh.. sedihnya rasa hati..

    ReplyDelete

Heyy Gojes..Any Comment????
Comment Yang Elok- Elok Aje Ye......

Suria Amanda Copyright © 2014 Designed by Ms.Azhafizah