Monday, June 24, 2013

Handbag..Kenapa Perlu Bawa

Perempuan dan tas tangan memang tidak dapat dipisahkan. Berhabisan wang simpanan semata-mata untuk dapatkan beg tangan pun tidak mengapa, paling kurang pasti ada lebih daripada sebuah dalam simpanan.
Beg atau tas tangan memang cukup sinonim dengan kaum wanita, sanggup mendapatkannya dalam apa juga bentuk, harga dan warna. Terutama ada jualan murah, dengan corak dan warna beg tangan yang cantik, habis diborong. Masalahnya pakai ke tidak?
Kebanyakan wanita memang suka menyimpan beg tangan sebagai koleksi tetapi hanya satu saja yang akan mereka guna untuk ke tempat-tempat tertentu. Tidak kurang yang mengasingkan beg untuk ke pejabat, gedung beli belah, pasar dan majlis rasmi. 

Wanita tidak mahu dilihat kolot dan tak mengikut peredaran masa. Harus diingatkan, pemakaian beg tangan yang lama masih tetap kelihatan cantik sekiranya bijak digayakan.

Terdapat pelbagai jenis beg tangan dengan pilihan material yang berbeza. Pembuatan beg tangan yang diperbuat daripada bahan-bahan unik seperti kulit haiwan, plastik, manik-manik, penggunaan benang besar dan buluh rotan antara yang menjadi tarikan.

Beg tangan sesuai digayakan dengan kepelbagaian fesyen pakaian. Ada yang bersaiz kecil dan besar, mengikut cita rasa individu. 

Remaja kini juga semakin mengalami pembaharuan, dikatakan sudah bijak dalam pemilihan beg tangan yang sesuai dengan mereka. Jika berbadan kecil lebih digalakkan memakai beg tangan kecil. Tidaklah nanti dikatakan beg besar daripada empunya badan.

Kalau lelaki lebih suka membawa dompet saja atau wang yang ingin dibelanjakan. Tetapi wanita pula, pelbagai jenis barang yang akan mereka sumbat di dalam tas tangan itu. 

Perbezaan pemilihan beg tangan para wanita juga berubah-ubah, mengikut cita rasa dan pilihan masing-masing. Kini di pasaran juga terdapat pelbagai jenis warna dan corak, beg tangan yang cantik mampu menarik perhatian kaum wanita untuk membelinya, walaupun mempunyai banyak koleksi beg tangan. 

Sekalipun harga mahal, kaum wanita tidak ambil kisah akan hal itu, asalkan dapat memenuhi hajat dan selera untuk dapatkan beg kesukaan dan berjenama hebat. Harga puluhan ribu ringgit bukan soalnya kerana masih ada yang mampu memilikinya.

Pernahkah anda terfikir apa yang membuatkan orang wanita ini suka sangat membawa beg tangan? Apakah barang wajib yang mereka perlu bawa sentiasa? 

Barang mekap seperti pemerah bibir, celak mata, pemerah pipi dan bedak asas, antara barang mekap yang wajib ada di dalam beg.

Wanita harus beringat, banyak kes ragut yang mengorbankan nyawa ramai wanita kerana membawa beg tangan yang tidak selamat. Misalnya membawa banyak barang di dalam beg atau tidak menyandangnya di bahu atau di belakang badan. Jadi ini memudahkan kerja peragut.


Sanggup tukar beg

“Memang sangat selesa apabila membawa beg tangan kerana bagi saya, imej perempuan dengan aksesori ini memang tidak boleh dipisahkan. 

“Kini terdapat banyak beg tangan yang berjenama atau jenama biasa yang berada di pasaran, dari situ timbul minat saya untuk bergaya. Kalau ke tempat kerja juga hari-hari saya sanggup menukar warna dan jenis beg supaya sepadan dengan pakaian yang saya pakai. 

“Saya juga sanggup membelanjakan untuk membeli beg tangan yang cantik-cantik, asalkan puas hati. Pernah ditegur oleh suami kerana terlalu banyak beg tangan dalam koleksi, tetapi mujur dia memahami hobi saya itu. 

“Berjalan atau keluar membeli-belah, saya tidak perlu menggunakan beg plastik untuk meletakkan barang-barang yang saya beli kerana saya boleh memuatkannya di dalam beg tangan yang bersaiz besar,” katanya.

Nama: Siti Aminah Ahmad 
Umur: 25 tahun
Lokasi: Perak 


Jadikan kenangan

“Mengumpul beg tangan adalah hobi baru kerana ia memberikan satu kepuasan kepada saya dengan pelbagai pilihan warna dan jenama.

“Bila saya ke luar negara, pasti saya akan bawa balik beg tangan untuk dijadikan kenangan. Terutama beg yang berjenama hebat yang lebih tahan lama dan lasak. 

“Kalau pergi membeli-belah, beg tangan yang akan saya lihat dulu berbanding barangan yang lain. Terutama musim harga murah, saya sanggup menghabiskan wang dengan membeli beg. 

“Pernah sekali adik saya meminjam beg tangan yang baru saya beli, kemudian dia rosakkan dengan menumpahkan air kopi ke atasnya. Ketika itu memang sangat marah, sehingga saya tidak lagi benarkan adik meminjam beg tangan saya.

“Saya melihat fesyen beg tangan ini kebanyakannya dari majalah fesyen yang banyak perkenalkan rekaan cantik yang sesuai dengan fesyen remaja kini,” katanya.

Nama: Alice Wong 
Umur: 23 tahun 
Lokasi: Perak


Sebagai hadiah

“Saya memang peminat beg tangan dan mempunyai banyak koleksi baru. Tidak kira yang murah atau berjenama, saya akan simpan. Ada ketikanya saya jadikan sebagai hadiah.

“Memang banyak beg yang saya simpan untuk diberikan kepada rakan-rakan yang minat kerana kalau banyak sangat simpan, nanti tidak tahu nak diletakkan di mana. 

“Semua beg tangan saya akan simpan dengan baik. Saya juga tidak suka kalau ada adik-beradik saya yang usik barang-barang kesayangan seperti beg tangan ini.

“Bagi saya apabila memakai beg tangan akan menyerlahkan lagi penampilan seseorang itu. Saya sendiri tidak boleh kalau keluar pergi ke mana-mana tanpa membawa beg tangan, rasa janggal, pelik dan tak sempurna. Beg tangan saya anggap seperti nyawa sendiri yang saya jaga dan bawa ke mana-mana. 

“Dari segi pemilihan beg tangan pula, saya tidak melihat kepada jenama semata-mata, asalkan ia cantik sudah memadai dan terus membeli, bukannya untuk tayang jenama,” katanya.

Nama: Norsyahirah Jamaludin
Umur: 23 tahun 
Lokasi: Johor
Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/05SUMBER HARIAN METRO

5 comments:

  1. kalau xbwk handbag jd mcm taboo?

    ReplyDelete
  2. mmg kna bawa, zmn anak dara je x de handbag, buh wallet dlm poket suar je..

    ReplyDelete
  3. handbag adalah wajib...
    wajib bawak kemana saja..
    buat collection pun yer jugak..

    ReplyDelete

Heyy Gojes..Any Comment????
Comment Yang Elok- Elok Aje Ye......