BUTANG...terdapat butang pada bahagian sisi tuala wanita bagi
mengelak beralih posisi ketika dipakai.
SEBELUM penghasilan tuala wanita moden, pada zaman dulu, sebahagian besar
wanita hanya menggunakan tuala atau lipatan kain yang dikoyak kecil sebagai alas
ketika datang bulan. Kain ini kemudian dibasuh, dikeringkan dan diguna semula
sehingga kedatangan haid berikutnya.
Jika perkara ini disampaikan kepada anak gadis zaman sekarang, tentu ada yang
akan tergelak atau paling tidak mencebik bibir tanda tidak sanggup meneruskan
tradisi ini. Antara alasan yang mungkin diberikan leceh, renyah, susah dan tidak
praktikal berbanding tuala wanita pakai buang yang lebih senang diurus.
.
Namun ketika kali pertama diperkenalkan dengan tuala wanita fabrik ini,
bentuk yang menarik dan comel menambat hati penulis. Ditambah pula penggunaan
warna ceria dan terang pada fabrik polos atau bercorak serta disimpan kemas di
dalam kotak, menjadikannya bukan seperti tuala wanita. Malah rakan penulis
mengatakan tidak sanggup memakainya kerana rekaannya begitu cantik, unik dan
moden.
Menurut Pengarah Urusan Lovelure Holdings Sdn Bhd yang juga
pengeluar tuala wanita Sakura, Marsyita Abd Wahab, idea mengeluarkan tuala
wanita fabrik itu selepas mendapati penggunaan lampin kain untuk anak bongsunya
begitu praktikal dan menjimatkan. Malah tiada kesan sampingan seperti ruam
lampin atau kegatalan pada kulit.
“Saya tertarik mengaplikasikan penggunaan lampin kain kepada tuala wanita
selepas melihat kelebihan pada anak bongsu saya. Selepas bertemu rakan yang
menjahit dan memakai sendiri, saya terus membuat sedikit kajian dengan membeli
tuala wanita fabrik dari Amerika Syarikat dan Jepun kerana di sana pemakaian
tuala wanita kain sudah begitu meluas. Namun pembuatannya lebih nipis dan kurang
praktikal dengan keadaan dan cuaca di Malaysia.
“Lalu saya membuat sedikit pengubahsuaian dengan merujuk kepada gaya
hidup wanita pelbagai peringkat usia,” katanya yang menjadi pengguna terlebih
dulu sebelum memasarkannya kepada orang ramai.
Menyedari pelbagai
penyakit seperti kanser serviks yang meragut banyak nyawa, dia terpanggil
menghasilkan produk dalaman mesra alam serta tidak menggunakan bahan
kimia.
“Sebenarnya, tuala wanita pakai buang yang ada di pasaran
kebanyakannya bukanlah 100 peratus kapas, sebaliknya diperbuat daripada serbuk
kayu pulpa yang dilembutkan dan diputihkan melalui proses pelunturan dengan
bahan klorin seterusnya menghasilkan bahan kimia dioksin. Apabila lembut,
lapisan ini dijadikan tuala wanita dan digunakan di seluruh dunia,” ujarnya.
Namun apa yang menjadi masalah, setiap tahun hampir 143,000 nyawa wanita
diragut gara-gara menghidap kanser serviks dan salah satu penyebab kanser ini
ialah kegagalan wanita menjaga kebersihan bahagian faraj terutama ketika haid
atau menjalani kehidupan seharian.
Penggunaan tuala wanita pakai buang
yang lama akan menyebabkan celahan paha dan faraj melecet. Malah pengudaraan
yang kurang menyebabkan faraj tidak bernafas dan mengeluarkan bau kurang
menyenangkan. Ini menyebabkan risiko wanita berumur dijangkiti penyakit faraj
seterusnya kanser serviks.
Penggunaan tuala wanita pakai buang juga
boleh menyebabkan pencemaran alam sekitar kerana bahan ini mengambil masa
berpuluh tahun untuk dilupuskan dan membebaskan toksin ke
udara.
“Bayangkan sekiranya wanita menggunakannya sejak berusia 10 tahun
sehingga 50 tahun, berapa banyak sampah yang sudah dikeluarkan dan ini sudah
tentu mencemarkan alam sekitar,” ujarnya.
Menyedari banyak kelebihan
diperoleh bukan saja daripada sudut kesihatan dan alam sekitar, Marsyita mula
mereka, memilih warna dan fabrik bersesuaian dengan mengambil kira keselesaan
wanita. Nama Sakura dipilih memandangkan pohon yang subur di Korea dan Jepun ini
berbunga mengikut musim tertentu. Begitu juga wanita yang mengalami haid pada
setiap bulan yang diibaratkan seperti bunga sakura yang segar dan menjadi
perhatian.
Marsyita yang turut mengeluarkan produk kesihatan dan
penjagaan dalaman wanita Sensa Series dan Ayuzip Series memberitahu, penggunaan
tuala wanita Sakura sama seperti tuala wanita sedia ada. Apa yang membezakannya
ialah daripada segi fabrik iaitu 100 peratus daripada kapas, buluh dan minky.
Namun ketiga-tiganya mempunyai perbezaan tersendiri. Kapas dan organik buluh
mempunyai kelebihan kerana melenyapkan masalah bau yang tidak menyenangkan
kerana ia lebih senang bernafas, tidak memberi rasa melekit dan berpeluh
berbanding tuala wanita pakai buang.
“Berbanding kapas Korea dan China,
saya mengambil kapas dari Amerika Syarikat kerana fabriknya lebih lembut dan
lambat luntur justeru, ia tahan sehingga 10 tahun. Fabrik minky mempunyai dua
jenis bulu iaitu panjang dan pendek serta memberi keselesaan ketika haid dalam
keadaan tenat. Namun saya lebih menyukai kapas dan minky kerana corak dan
warnanya pelbagai dan moden,” jelasnya yang percaya pemakaian tuala wanita kain
mampu meningkatkan keyakinan diri si pemakai meskipun ia tidak dapat dilihat
khalayak.
Bagi memastikan tahan lasak dan tidak bocor, setiap rekaan
dilapisi bahagian kalis air yang mempunyai aliran udara yang baik, tidak panas
dan berkuap. Malah pemilihan fabrik bermutu menjadikan setiap tuala wanita
mempunyai daya resapan dan menakung cecair dengan kuat dan tahan
lama.
Malah warna terang dan ceria pada fabrik adalah sifat semula jadi
wanita yang sukakan kecantikan terutama dalam penampilan. Jadi dengan memberi
kelainan pada tuala wanita mereka mempunyai pilihan memakainya.
Bagi
menjadikannya lebih unik dan selesa, berbanding tuala wanita pakai buang yang
mempunyai pelekat, jenama Sakura disertakan butang bagi mengelak beralih posisi
ketika dipakai. Lebih penting ia bukan saja sesuai ketika haid malah selepas
bersalin atau mengalami masalah kencing tidak lawas.
“Jangan bimbang
kerana butang ini tidak menjejaskan pemakaian, malah tidak mendatangkan rasa
sakit sekiranya wanita dalam keadaan aktif,” jelas Marsyita.
Ditanya
bagaimana sekiranya dipakai di tempat kerja atau ketika bersantai ke pusat
beli-belah yang memerlukan wanita menukar tuala wanita mereka, menurut wanita
kecil molek ini, ia tidak menjadi masalah kerana tuala wanita boleh disimpan di
dalam beg khas.
Selepas pulang ke rumah mereka boleh mencuci seperti
biasa. Cara pembersihannya pula sangat mudah dan sama seperti tuala wanita sedia
ada. Cuma selepas memakainya ia perlu direndam dan dibasuh begitu saja, tidak
perlu
diberus, memadai menyental dengan tangan. Elakkan menggunakan bahan
pelembut pakaian bagi memastikan tuala wanita kitar semula ini tahan
lama.
“Ini kerana bahan pelembut akan membuatkan tuala wanita mempunyai
kurang daya penyerapan. Sebaliknya pengguna diingatkan menggunakan pencuci faraj
bagi mengekalkan kelembutan serta daya tahan serapan apabila dipakai. Jika
dijaga ia mampu bertahan sehingga 10 tahun bergantung kepada cara penggunaan,”
katanya.
Bagi memberi pilihan, tuala wanita Sakura didatangkan dalam
beberapa ukuran iaitu pelapik seluar dalam untuk kegunaan harian, maxi untuk
pengeluaran pada waktu tenat, kegunaan malam dengan saiz lebih panjang dan lebar
serta selepas bersalin.
“Bagi mereka yang ingin mencuba boleh membeli
set biasa dengan 12 jenis tuala wanita dalam pelbagai ukuran,” katanya yang kini
dalam proses mendidik orang ramai mengenai kelebihan menggunakan tuala wanita
kain.
Marsyita tidak menafikan mungkin ada pihak yang ragu-ragu dengan
kebaikan tuala wanita kain ini kerana menganggap tidak praktikal dan tidak
sesuai untuk wanita berkerjaya. Ada pula yang bersetuju kerana menganggap ia
idea yang bagus selain menjimatkan.
“Saya percaya apa juga yang baru dan
belum dikenali ramai agak sukar diterima.
Namun saya yakin mereka yang
mementingkan kesihatan dan alam sekitar pasti tidak menolak menggunakan tuala
wanita kain kerana banyak kebaikan diperoleh dalam jangka masa panjang. Mungkin
buat permulaan mereka memerlukan keyakinan untuk mencuba,” katanya yang menerima
maklum balas positif orang ramai yang mengakui sangat selesa menggunakannya
serta tidak lagi menghadapi masalah kegatalan dan
keputihan.
Manfaat penggunaan tuala wanita kain
Wanita yang bertukar ke penggunaan tuala wanita kain terselamat daripada
bahaya bahan kimia dioxin yang wujud dalam tuala wanita dan tampon pakai
buang.
Walaupun jumlah akhir dioxin yang wujud adalah kecil, bahan kimia ini
boleh berkumpul di dalam badan kepada jumlah yang berbahaya selepas penggunaan
berterusan. Dioxin dikaitkan dengan penyakit seperti endometriosis, keradangan
pelvik, kanser payu dara, kanser ovari, kecacatan bayi, keguguran, masalah
kesuburan, diabetes dan kerosakan sistem imun.
Tuala wanita kain tidak mempunyai pewangi atau penyah bau. Penggunaan
pewangi yang ditambah semasa pemprosesan tuala wanita pakai buang boleh
menyebabkan radang kulit dan mengganggu kestabilan faraj. Plastik yang digunakan
untuk lapisan kering boleh menyebabkan masalah kulit, faraj dan
kegatalan.
Anggaran penggunaan tuala wanita bagi seorang wanita adalah di antara 25
hingga 35 tahun. Sepanjang tempoh ini, mereka akan berbelanja sebanyak RM3,500
sehingga RM7,000 (bergantung jenama dipakai) dan penggunaan pelapik seluar dalam
pula melebihi perbelanjaan pembelian tuala wanita. Oleh kerana tuala
wanita
guna semula dan juga pelapik seluar kain kapas boleh dibasuh dan dipakai semula,
wanita sudah tentu boleh berjimat bagi tempoh yang agak panjang.
SUMBER