Antaranya meninggal dunia kerana lemas, dilanggar ibu bapa, digelek pembajak,
lemas di dalam kereta, tersedak susu, didera pengasuh, terjatuh kolam dan
terkena renjatan elektrik yang sepatutnya boleh dielakkan sekiranya ibu bapa
memberi sepenuh perhatian terhadap keselamatan anak-anak.
Dengan banyak kes yang berlaku hampir setiap hari, seolah-olah nyawa
kanak-kanak bagaikan tiada nilai. Siapa yang harus dipersalahkan, ibu bapa,
pihak sekolah atau masyarakat? Adakah dengan mengetatkan undang-undang dan
menjatuhkan hukuman setimpal kepada ibu bapa dan penjaga satu langkah bijak bagi
memberi pengajaran supaya perkara ini tidak berulang?
Menurut pensyarah
Fakulti Undang-Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia yang juga Ahli Majlis
Penyelaras Pelindung Kanak-Kanak Malaysia, Prof Madya Datin Noor Aziah Mohd
Awal, di dalam Akta Kanak-kanak, Seksyen 33 ada menyebut mengenai kesalahan ibu
bapa atau penjaga yang membiarkan anak-anak tanpa pengawasan orang dewasa atau
meninggalkan anak-anak untuk suatu tempoh yang tidak munasabah atau membiarkan
mereka dalam keadaan yang tidak munasabah, ibu bapa atau penjaga yang melakukan
kesalahan ini, boleh dijatuhkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau
penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
Persoalannya, pernahkah pendakwaan dibuat dan jika tiada, kenapa? Jika
pihak polis masih menganggap perkara seperti ini lumrah kehidupan dan takdir,
maka semakin ramai ibu bapa tidak bertanggungjawab terlepas daripada hukuman
sedangkan mereka secara sengaja mendedahkan anak-anak kepada bahaya.
“Misalnya ibu bapa bekerja yang meninggalkan anak di rumah tanpa
pengawasan pembantu rumah atau keluarga terdekat, membiarkan anak keluar bermain
di tepi jalan atau taman permainan tanpa pengawasan orang dewasa, juga
membiarkan kanak-kanak yang baru boleh berjalan bersendirian sehingga
menyebabkan lemas atau terkena renjatan elektrik sudah tentu semuanya berpunca
daripada kecuaian penjaga.
“Begitu juga sekiranya ibu bapa meninggalkan
anak-anak tanpa pengawasan dan mendedahkan mereka kepada peluang melarikan diri
dari rumah, sudah tentu ibu bapa boleh didakwa bagi kesalahan di bawah
peruntukan ini,” jelasnya.
Dalam hal ini kanak-kanak tidak boleh
dibiarkan bersendirian tanpa pengawasan orang dewasa kerana mereka masih belum
boleh berfikir perkara baik dan buruk.
Di dalam Islam juga tidak membenarkan
anak-anak terutama gadis keluar tanpa ditemani muhrim. Ini kerana menjadi
tanggungjawab wali iaitu bapa memastikan keselamatan anak-anak sehingga mereka
mendirikan rumah tangga.
“Namun kini, ibu bapa memberi kebebasan dengan
membenarkan mereka keluar bersama rakan. Ada pula yang langsung tidak bertanya
siapa kawan dan ke mana mereka pergi. Sikap terlalu terbuka dan memberi
kebebasan ini akhirnya akan membawa padah,” katanya.
Tambah Prof Noor
Aziah, cara didikan ibu bapa pada masa dulu seharusnya diterapkan kembali kepada
anak-anak. Dengan pelbagai kes yang berlaku sekarang, mendisiplinkan anak dengan
mengadakan peraturan ketat seperti melarang keluar rumah kecuali ke sekolah atau
aktiviti berkaitan, menemani anak ke mana saja serta melarang bertandang ke
rumah rakan mampu mengelak perkara buruk.
“Saya masih ingat dulu kami
adik-beradik langsung tidak dibenarkan bermain di rumah rakan. Jika ada hanya
ketika belajar mengaji al-Quran dan biasanya dihantar dan diambil ayah. Malah
kami tidak dibawa ke pusat beli-belah atau majlis kenduri. Tidak pernah memilih
baju raya sendiri kerana semuanya disediakan ayah,” jelasnya.
Keadaan
ini berbeza dengan anak zaman sekarang kerana sejak kecil mereka didedahkan
dengan persekitaran pusat beli-belah, majlis keraian dan pusat hiburan. Bukan
tidak boleh membawa anak, tetapi sekiranya ibu bapa sendiri leka, cuai dan tidak
mampu mengawal tingkah laku mereka baik ditinggalkan saja di rumah.
Menceritakan pengalaman ketika menetap di United Kingdom, dia tidak
pernah meninggalkan anak-anak bersendirian, malah ketika mengunjungi pusat
beli-belah tangan anaknya diikat menggunakan abah-abah supaya tidak hilang.
Sehingga ke hari ini walaupun mereka sudah remaja, dia tetap mengawasi
pergerakan mereka.
“Memang saya seorang yang sangat mengambil berat
keselamatan anak-anak. Sejak kecil saya tidak pernah membenarkan mereka keluar
bersendirian atau bersama rakan sehingga usia 18 tahun. Itu pun mesti ditemani
saudara-mara misalnya sepupu. Memang saya sentiasa beringat kerana kemalangan
boleh berlaku di mana-mana. Jika kita sudah menjaga dan mengawasi mereka namun
masih berlaku tragedi, baru boleh dikatakan sebagai takdir,” ujarnya yang
mengingatkan ibu bapa supaya tidak melepaskan anak gadis sehingga mereka
mendirikan rumah tangga kerana ia di bawah tanggungjawab penjaga.
Ujarnya, kebebasan keterlaluan kepada anak terutama remaja perempuan
menyebabkan ada yang lari dari rumah mengikut teman lelaki. Dia yang menjalankan
kajian di sebuah sekolah mendapati, kes lari dari rumah berpunca daripada ibu
bapa itu sendiri. Rasa kurang senang dan selesa di rumah, ibu kuat membebel,
dicabul bapa sendiri, dirogol abang atau saudara mencetuskan rasa kurang hormat
terhadap ketua keluarga.
“Sepatutnya rumah menjadi lokasi terbaik
mencetuskan rasa aman, tenang dan selesa kepada anak-anak. Konsep rumahku
syurgaku harus diwujudkan di rumah. Ini bagi memastikan anak-anak tidak keluar
rumah dan menganggapnya sebagai lokasi terbaik bersama keluarga,” jelasnya.
Selain ibu bapa, masyarakat turut berperanan memastikan keselamatan
kanak-kanak. Ini boleh dilakukan dengan memberi perhatian sekiranya terlihat
anak kecil tanpa pengawasan penjaga.
Amalan menjaga tepi kain orang
harus dikembalikan. Ini boleh dilakukan dengan menegur tanpa mengira latar
belakang jika ternampak remaja keluar bersama lelaki dalam keadaan mencurigakan.
Begitu juga sekiranya ternampak kanak-kanak bersendirian, kita segera
menyelamatkan mereka.
“Kemalangan membabitkan kanak-kanak boleh
dikurangkan sekiranya mendapat kerjasama semua pihak. Lebih penting ibu bapa
memainkan peranan dalam membentuk perilaku anak. Ini boleh diperoleh sekiranya
pasangan mempunyai ilmu keibubapaan yang tinggi. Bukan setakat berkahwin dan
mempunyai anak tetapi tahu cara didikan terbaik untuk cahaya mata mereka,”
katanya.
Berikutan peningkatan kemalangan serta perbuatan jenayah zalim
terhadap kanak-kanak seperti penculikan, serangan, penganiayaan, liwat, rogol
dan pembunuhan, ini menunjukkan perlindungan terhadap kanak-kanak di Malaysia
masih belum sempurna dan perlu diperbaiki.
Ini diakui Naib Pengerusi
Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye yang berpendapat,
keselamatan kanak-kanak tidak boleh diambil mudah kerana melindungi kanak-kanak
daripada keganasan adalah komponen penting dalam menjaga hak kanak-kanak untuk
terus hidup, membesar dan membangun. Ini boleh dilakukan dengan memantapkan
dasar perlindungan kanak-kanak menerusi beberapa strategi dan pendekatan yang
boleh dimainkan penjaga dan masyarakat amnya.
Merujuk kes penculikan
kanak-kanak Nayati Shamelin Moodliar, 12, ketika berjalan ke sekolah berhampiran
rumahnya, pihak sekolah perlu mengetatkan kawalan keselamatan.
“Kawalan
secara berjalan kaki dan bermotosikal di kawasan sekolah perlu dipertingkatkan.
Pihak berkuasa perlu memasang lebih banyak kamera litar tertutup (CCTV) di
samping memasang lampu di kawasan gelap. Pastikan sesiapa juga yang memasuki
kawasan sekolah harus berdaftar dengan pengawal keselamatan.
Walaupun nampak
rumit, ia sangat membantu melindungi pelajar sekolah daripada bertemu orang yang
tidak dikenali,” ujar aktivis sosial ini.
Selain itu, pihak sekolah
harus memperkenalkan mata pelajaran pendidikan keselamatan terutama kepada
kanak-kanak di sekolah rendah kerana mereka terdedah kepada banyak risiko
seperti diculik.
“Antaranya mengajar cara bertindak balas terhadap
sebarang kemungkinan sekiranya berlaku keadaan merbahaya, berhati-hati dengan
orang yang tidak dikenali dan tidak termakan pujuk rayu mereka. Mereka juga
perlu diajar cara menyelamatkan diri jika diculik dengan berlari, menjerit,
meniup wisel, menggigit dan meminta tolong dengan sesiapa saja,” katanya.
Dalam hal ini, perlindungan kanak-kanak harus bermula dari rumah. Ibu
bapa perlu bertanggungjawab kepada keselamatan anak di samping mengajar cara
bertindak balas sekiranya dalam bahaya.
Membawa anak ke pusat
beli-belah, tempat makan dan kawasan riadah tanpa pemantauan rapi mendedahkan
mereka kepada bahaya. Begitu juga dalam kes anak tertinggal dalam kenderaan atau
hilang ketika bermain di taman permainan yang berpunca daripada kecuaian penjaga
sendiri.
Katanya, kes sebegini boleh dielakkan sekiranya masyarakat
prihatin dengan keadaan sekeliling. Misalnya anak yang bermain di taman
permainan, ibu bapa boleh meminta jiran memantau secara bergilir-gilir.
“Walaupun ada beranggapan anak sudah besar dan bersekolah rendah, harus
ada rasa takut dan bimbang terhadap keselamatan mereka. Mungkin menjaga anak
secara bergilir-gilir dengan jiran dan memantau pergerakan ketika bermain di
taman permainan dapat mengurangkan kes diculik atau hilang,” katanya
SUMBER