Friday, March 9, 2012

Tak sesak lagi


KUALA LUMPUR: Pengguna komuter yang sering merungut mengenai masalah kesesakan dan kelewatan perkhidmatan itu kini boleh menarik nafas lega apabila kerajaan melabur RM1.9 bilion untuk memperoleh 38 set tren baru dikenali MyKomuter yang memulakan operasi semalam.
Empat tren sudah beroperasi semalam dengan 12 set tren lagi sedang menjalani Pengujian dan Pentauliahan manakala jumlah lengkap tren MyKomuter akan diperoleh secara berperingkat dengan penerimaan terakhir dijadual Jun ini.

Dengan tren baru ini, penumpang tidak lagi perlu bersesak-sesak terutama di waktu puncak kerana kapasitinya mampu memuatkan sehingga 1,100 orang berdiri dan duduk berbanding 400 ketika mengguna koc tiga gerabak sebelum ini.

Malah, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menjangkakan waktu ketibaan tren dapat disingkatkan dari 30 minit ke 10 minit mulai Julai ini apabila semua 38 set MyKomuter beroperasi sepenuhnya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, pelancaran set baru MyKomuter itu adalah salah satu usaha terbesar kerajaan di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) iaitu mempertingkatkan pengangkutan awam negara dengan sasaran penggunaan di Lembah Klang pada waktu puncak sebanyak 25 peratus atau 600,000 penumpang pada tahun ini.

“Dengan pelancaran 38 set tren ini, kerajaan yakin lebih ramai warga Lembah Klang akan menggunakan pengangkutan awam dan di samping itu, kemudahan berkenaan membantu meningkatkan lagi produktiviti warga kerja seterusnya memberi kesan positif kepada ekonomi,” katanya pada majlis perasmian perkhidmatan set terbaru MyKomuter di sini, semalam.


Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Hadir sama, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala, Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Syed Jaafar Albar, Pengerusi KTMB, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed dan Duta China ke Malaysia, Chai Xi.

Perdana Menteri berkata, tren MyKomuter yang diimport sepenuhnya dari China itu dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk untuk orang kelainan upaya (OKU) malah setanding dengan tren di negara maju serta direka bentuk mengikut keperluan negara ini.

“Saya juga memohon penumpang supaya bersabar kerana semasa pembangunan infrastruktur bagi meningkatkan kualiti pengangkutan awam, orang ramai akan menghadapi pelbagai kesukaran namun apabila ia siap sepenuhnya, rakyat dapat menikmati keselesaan dan kualiti hidup lebih baik,” katanya.

Beliau berkata, sebagai galakan kepada pelbagai lapisan rakyat untuk menggunakan perkhidmatan MyKomuter, KTMB akan mengedarkan 100,000 kupon percuma bernilai RM2 setiap satu dan boleh digunakan bagi perkhidmatan MyKomuter bagi tempoh enam bulan bermula semalam

Sumber Harian Metro.

Yeayyyyy...kita nantikan MyKomuter......Just wait and see

2 comments:

  1. harap dgn kehadiran mykomuter tuh mutu perkhidmatan dipertingkat kan la yer...

    ReplyDelete
  2. eeemm.. sekarang sesak lagi ke..?

    ReplyDelete

Heyy Gojes..Any Comment????
Comment Yang Elok- Elok Aje Ye......