Tuesday, September 6, 2011

Natasha punca rakan disimbah asid

KANGAR – “Saya berasa amat bersalah dan bimbang selepas teman saya menerima aib disimbah asid. Oleh itu, saya hendak pergi dari sini.”
Demikian luahan seorang pondan yang mahu dikenali sebagai Natasha, 28, yang dikaitkan punca cemburu seorang lelaki sehingga sanggup bertindak menyimbah asid ke atas rakan serumahnya di Taman Seri Bakau di sini pada Sabtu lalu.
Kata Natasha, dia akan membawa diri ke tempat baharu bagi menjalani kehidupan lebih aman bersama teman serumahnya yang juga mangsa kejadian, Mohd. Hafizuddin Johari, 20.
“Sejak kami bersama, ramai pihak tidak senang dengan hubungan kami sehingga sering diugut dan dicaci.
“Kejadian ini amat menakutkan saya dan demi keselamatan dan keselesaan hidup, kami akan pindah,” katanya ketika ditemui di Rumah Kelab Media Perlis di sini semalam.
Semalam akhbar melaporkan seorang pemuda cedera di muka dan tangan kanan akibat disimbah asid oleh individu tidak dikenali ketika sedang mengunci pagar rumahnya di Taman Seri Bakau di sini.
Menurut polis, motif serangan oleh suspek berusia 19 tahun itu disebabkan cemburu ekoran mangsa melarangnya mendekati Natasha. Penyerang tersebut kemudiannya berjaya diberkas.
Natasha yang bekerja sebagai jurujual kosmetik berkata, punca temannya diserang adalah kerana suspek tidak berpuas hati ekoran tidak dapat mendekati dirinya.
“Saya dan Hafizuddin tidak mengenali penyerang itu tetapi disebabkan sifat dan keadaan saya, ramai lelaki hendak berkawan tetapi saya tidak melayan mereka,” ujarnya lagi.
Natasha mendakwa menjadi tumpuan ramai lelaki ekoran minatnya yang suka menyanyi dan menari di beberapa pusat karaoke di sekitar pantai negeri itu.
“Saya sayangkan Hafizuddin sebab dia banyak menolong dan memberi sokongan kepada saya. Oleh itu, keputusan kami ini baik untuk semua pihak,” ujarnya.
Sementara itu, Mohd. Hafizuddin yang bekerja di bidang penyediaan makanan memberitahu, dia akan mengikut Natasha kerana serasi hidup bersama sejak mengenalinya empat bulan lalu.

Sumber dar Kosmo online..

No comments:

Post a Comment

Heyy Gojes..Any Comment????
Comment Yang Elok- Elok Aje Ye......