Friday, September 30, 2011

Merintih dalam kereta hangus

JOHOR BAHRU: “Tolong, tolong, tolong!” Itu rintihan Nor’Izah Abdullah Omar, 46, kepada rakan sepejabat yang dihubunginya sebelum dia rentung apabila kereta dipandunya terbakar selepas terbabas di Kilometer 29.9, Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua), arah Senai ke Nusajaya di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, Izah yang berasal dari Taman Desa Idaman, Senai, memandu Proton Satria yang hilang kawalan di tempat kejadian dan terbalik ke dalam longkang sebelum terbakar.

Lokasi kemalangan itu kira-kira 10 minit dari pejabat Izah.

Izah sempat menghubungi rakan sepejabatnya, Rohimi Tahir, 38, sebanyak empat kali sejurus kemalangan itu, tetapi lelaki berkenaan tidak menyedarinya.

“Saya tidak menyedari panggilan masuk berkenaan dan terus ke hospital apabila dimaklumkan rakan sepejabat berkaitan kemalangan menimpa Izah.

“Ketika itu saya dimaklumkan seorang rakan sepejabat saya sempat menjawab panggilan Izah yang menjerit perkataan ‘tolong’ sebelum ia terputus beberapa saat kemudian,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Kulaijaya.


Menurut Rohimi yang juga penyelia di syarikat perkapalan di Senai, rakan sepejabat mereka itu cuba menghubungi semula Izah, tetapi gagal.

“Saya kecewa kerana tidak menyedari panggilan berkenaan, ketika itu Izah mungkin cuba menyelamatkan diri.

“Mungkin Izah kemudian menghubungi pejabat untuk mendapatkan bantuan selepas gagal menghubungi saya,” katanya.

Pada masa sama, Rohimi berkata, Izah yang juga kerani menunjukkan perubahan sikap ketara sejak dua bulan lalu apabila wanita berkenaan meluahkan hasrat untuk pergi bercuti dan meminta rakan sepejabatnya mencadangkan pusat peranginan sesuai.

Curiga Rohimi bertambah selepas Izah kelihatan gembira serta hadir ke semua majlis rumah terbuka rakan sepejabat.

“Dalam keadaan bergurau dan nada bersahaja, Izah berkata ‘kalau boleh aku nak pergi bercuti ke tempat yang tak perlu balik’ menyebabkan kami kurang senang dengan gelagatnya itu,” katanya. Sementara itu, ibu angkat Izah, Hasman Mohd Zain, 84, berkata, dia reda dan menyifatkannya sebagai ketentuan Ilahi.

Menurut Hasman, Izah tidak berkelakuan pelik sebaliknya memeluk dan menciumnya seperti biasa sebelum ke tempat kerja.

“Izah juga tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap, pada masa sama, Izah kerap mengadu Proton Satria dibelinya sejak enam bulan lalu itu kerap rosak dan bercadang menghantarnya ke bengkel hari ini (semalam). Bagaimanapun, hasrat itu tidak kesampaian,” katanya.

Izah yang juga ibu tunggal mempunyai dua anak iaitu seorang lelaki dan perempuan berusia 20 serta 21 tahun, kedua-duanya kini tinggal bersama bapa mereka di Kuala Lumpur.

Jenazah Izah dituntut keluarga sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Saleng, petang semalam

1 comment:

Heyy Gojes..Any Comment????
Comment Yang Elok- Elok Aje Ye......